Senin, Juli 07, 2008

P. Ramlee Tidak Serius?

Sehingga kini ada beberapa tulisan tentang seniman Tan Sri P. Ramlee, baik dalam bentuk buku, makalah atau program-program televisyen. Pada umumnya penekanan yang diberi tidak betul-betul kena sasaran fakta-fakta kehebatan seniman besar ini. Justeru, gambaran tentang kehebatan beliau masih kabur. Sebaliknya pula, beliau telah diterima oleh sebahagian besar masyarakat Melayu sebagai seniman agung, legenda seni dan ikon negara.

Persoalannya apakah penerimaan masyarakat ini menepati dengan hakikat ketokohan beliau atau tidak? Pada umumnya masyarakat menerima gelaran ini diberikan kepada beliau, justeru kerana aspirasi kepada kebolehan beliau dalam serba lapangan seni hiburan iaitu sebagai pengarah filem, pelakon, pelawak, pencipta lagu, pemuxik, penyanyi dan penulis skrip. Adalah sukar untuk melihat seorang seniman yang serba boleh begini sehingga kini kecuali M. Nasir. Persoalannya pula apakah kerana kepelbagaian kebolehan ini sudah menepati dengan gelaran-gelaran yang diberi?

Apabila direnung secara mendalam, nampak fakta-fakta tersirat bahawa P.Ramlee bukan sekadar penghibur yang mempunyai bakat kebolehan kepelbagaian tadi, malah beliau juga sudah sampai ke tahap pemikir dalam kepelbagaian seni yang sehingga kini, (dalam konteks Malaysia) belum ada lagi tandingannya. Memang tidak semua karya beliau hebat, ada juga karya-karyanya meleset dan kecundang. Filem-filem Enam Jahanam, Do Re Mi, Laksamana Do Re Mi dan Gerimis menampakkan dengan jelas beliau sangat-sangat ketandusan idea. Apakah factor-faktor yang menyebabkan beliau begitu kecundang, perlu kepada satu kajian secara mendalam.

Karya filem-filem beliau seperti Si Tora Harimau Jadian, Jangan Tinggal Daku dan Ahmad Albab juga tidak menggambarkan beliau seorang seniman besar. Umum tidak boleh menafikan bahawa tahap mutu teknologi perfileman Melayu termasuk filem-filem P. Ramlee secara keseluruhannya, dari segi seni foto, teknologi dubbing, suara dan lain-lain aspek pada masa itu sangat lemah. Jika dibanding dengan mutu filem-filem Barat, Bollywood dan Asia Timur kelemahan itu agak ketara.

Bagaimanapun, kelemahan-kelemahan ini tidaklah pula menenggelamkan keaslian mutu karya-karya P. Ramlee dalam beberapa sudut yang lain. Kalaulah dilihat dari sudut lakonan, susunan babak, plot latar belakang filem, latar belakang muzik, nyanyian, senikata (skrip), jalinan cerita dan lebih-lebih lagi tema beberapa filem tertentu, seperti Antara Dua Darjat, Semerah Padi, Nujum Pak Belalang dan Tiga Abdul, menampakkan beliau mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu. Bersambung...